Jan 25, 2014

#SaveSelangor : Khalid Bakal menjadi Korban Terbaru PKR.



DI ATAS kertas, karier politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dianggap berada dalam keadaan genting selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mengesahkan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan Menteri Besar Selangor itu meletakkan jawatan.

Menurut Abdullah Sani, keputusan menggantikan Abdul Khalid tersebut dibuat berasaskan keadaan pentadbiran negeri yang dilihat tidak menepati aspirasi parti.

Berikutan keputusan itu, sudah jelas nasib Abdul Khalid lebih banyak bergantung kepada sekutu PKR iaitu DAP dan Pas, biar pun pendirian PKR Selangor itu perlu dibawa ke PKR pusat untuk diputuskan.

Abdul Khalid tidak boleh begitu mengharapkan keputusan PKR Selangor tersebut ditolak oleh PKR pusat memandangkan bukan rahsia lagi di peringkat pusat, beliau juga menghadapi tekanan daripada beberapa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mempunyai pendirian, ''setuju 100 peratus' beliau dipecat.

Apatah lagi, Abdul Khalid mempunyai perbalahan politik dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang bukan sahaja salah seorang pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu tetapi juga individu yang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Walaupun Abdul Khalid dijangka mendapat sokongan daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang sememangnya mempunyai sejarah 'tidak sebulu' dengan Azmin, namun kekuatan mereka tidak mampu menahan penolakan oleh pemimpin-pemimpin PKR lain terhadap Abdul Khalid.

Secara dasarnya, Abdul Khalid sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kekuatan untuk mempertahankan kedudukannya di Selangor dengan mengharapkan kepada PKR.

Sebaliknya, sejak konflik politik antara beliau dengan Azmin tercetus, ramai pemerhati politik sudah menjangkakan Abdul Khalid tidak akan mampu bertahan. Ia kerana 'serangan' dan tekanan bukannya datang dari luar tetapi dari dalam parti sendiri.

Keadaan menjadi bertambah buruk kepada Abdul Khalid apabila beliau dilihat sering sahaja membuat keputusan yang menyusahkan PKR dan meletakkan pentadbiran kerajaan negeri dalam kontroversi.

Abdul Khalid mungkin boleh bertahan jika di Selangor, wakil rakyat PKR memberi sokongan padu kepada beliau tetapi ini tidak berlaku sebaliknya beliau dikatakan hanya mendapat sokongan terlalu sedikit.

Namun begitu, Abdul Khalid masih boleh menaruh harapan untuk kekal sebagai Menteri Besar memandangkan PKR hanya memiliki 14 kerusi sedangkan DAP dan Pas masing-masing 15 kerusi.

Oleh itu, Abdul Khalid kini menaruh harapan sepenuhnya kepada DAP dan Pas untuk menyelamatkan beliau daripada 'terkorban' dalam pertempuran politik dengan PKR.

Abdul Khalid sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan wakil rakyat kedua-dua parti itu di peringkat negeri.

Tambahan pula, dalam beberapa keputusan sejak menjadi Menteri Besar, beliau dikatakan lebih memihak kepada pendirian kedua-dua parti itu khususnya DAP.

Justeru DAP dan Pas boleh menjadi tembok penghalang yang akan mampu memintas 'gelombang' PKR untuk menyingkirkan Abdul Khalid.

Jika kedua-dua parti itu mahu Abdul Khalid kekal, ia sudah pastilah memusnahkan impian penyokong-penyokong kuat Azmin yang sudah teruja ingin melihat Menteri Besar Selangor itu berundur atau dipecat daripada jawatan berkenaan.

Selain itu PKR sudah tentu tidak mahu 'mencari fasal' dengan Pas yang dikatakan akan terus memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Pas tidak mahu individu lain termasuklah Azmin menggantikan Abdul Khalid. Jika PKR berdegil dengan pendiriannya, Pas dikatakan akan menuntut kerusi Menteri Besar yang sememangnya sejak awal lagi hak mereka berdasarkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai.

Senario ini memperkukuhkan lagi usaha Abdul Khalid untuk bertahan dengan sokongan Pas dan DAP.

Namun begitu ia bukanlah bermakna usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid sudah berakhir sebaliknya, beliau mungkin akan berhadapan dengan gangguan demi gangguan dari dalam parti sendiri dengan tujuan menjejaskan reputasinya sebagai Menteri Besar Selangor.

Malah seperti mana diramalkan banyak pihak, pemilihan PKR pada Mei ini bukan sahaja akan menyaksikan pertembungan antara beliau dan Azmin tetapi platform untuk memburuk-burukan Abdul Khalid.

Oleh itu, Abdul Khalid mungkin boleh kekal sebagai Menteri Besar Selangor dengan sokongan DAP dan Pas, tetapi perjuangan politik beliau sentiasa akan dihempas 'gelombang' akibat 'serangan' kawan-kawan sendiri - begitulah politik.

No comments: