Dec 3, 2013

#TarifNaik : Kenaikan Tariff Elektrik Strategi Sesat Kerajaan Barisan Nasional #PAU2013


Dengan kenaikan tariff elektrif yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, maka lengkaplah tindakan strategi kerajaan Barisan Nasional yang ternyata sesat dan menyeleweng. Pengumuman yang dibuat ketika mana selepas PRU-13 dan juga PRK Sg. Limau mencerminkan bahawa kerajaan Barisan Nasional seolah-seolah tidak mencerminkan slogan yang selalu dilaungkan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."

Saya faham tentang kenaikan harga minyak. Saya juga faham tentang penarikan semula ke atas subsidi gula. Saya turut faham tentang pelaksanaan GST. Tidak kurang juga pemahaman saya terhadap kenaikan cukai pintu oleh DBKL. Namun sehingga kini saya tidak faham dengan kenaikan tariff elektrik sebanyak 14% di Semenanjung dan 16% di Sabah & Sarawak.

Apanya tidak apabila, ketika mana TNB mengumumkan keuntungan berbilion ringgit, tariff elektrik dinaikkan.



Bagi saya mendapat keuntungan daripada menaikkan harga sesuatu barang yang pada mana rakyat tidak ada pilihan lain melainkan pilihan itu sahaja adalah satu strategi perniagaan yang tersangat bodoh dan boleh dilaksanakan oleh sesiapapun.

Strategi perniagaan yang bijak apabila anda dapat mengekalkan harga jualan dan pada masa yang sama boleh meningkatkan keuntungan. Malah, seorang CEO itu boleh dianggap genius apabila boleh meningkatkan keuntungan tetapi hasil jualan dikurangkan.

Maka, jatuh pada kategori manakah CEO TNB ini?

Kesalahan ini saya tidak letakkan kepada DS Najib Tun Razak. Tetapi saya ingin letakkan kepada penasihat beliau yang sesat iaitu Idris Jala dan Omar Ong. Penasihat yang ingin menghancurkan usaha yang telah dijalankan oleh DS Najib dan pemimpin yang lain untuk menaikkan nama UMNO dan juga Barisan Nasional.

Satu demi satu kenaikkan selepas PRU-13 ini terlalu mendadak sehinggakan rakyat boleh merasainya. Atas kerana inilah penduduk bandar secara amnya telah menolak Barisan Nasional kerana mereka sudah lama terasa dengan desakan dan tekanan kewangan berbanding dengan penduduk kampung yang tidak begitu didesak dengan keadaan sebegini.


Saya faham bahawa kerajaan hendak menaikkan harga-harga yang perlu dinaikkan ketika ini dengan harapan rakyat akan lupa apabila tiba PRU yang akan datang. Namun keadaan tidak akan berlaku seperti ini. Apabila desakan telah sampai kepada 'perut' rakyat maka pada ketika itulah baru revolusi atau reformasi itu boleh berjaya.


Pada ketika ini, diharapkan kerajaan lantas sedar dan membatalkan niat untuk menaikkan tariff elektrik ini. Bukan kerana apa, tetapi kerana TNB masih lagi untung! Saya boleh terima sekiranya tariff ini dinaikkan kerana TNB kerugian. Tetapi yang sebaliknya berlaku.

Gunakan Hak Untuk Berfikir Sebelum Hak Untuk Menaikkan Tariff Elektrik!

No comments: