Dec 3, 2013

#PAU2013 : Masih Ada Ruangkah Untuk UMNO Diperkukuhkan Atau Ia Perlu Ditamatkan Riwayatnya?



PERHIMPUNAN Agung UMNO kali ini sudah pasti tidak akan dihiasi dengan kemeriahan pemilihan memandangkan proses itu sudah dijalankan sebelum ini melalui keputusan yang dibuat oleh 146,000 ahli parti tersebut di seluruh negara.
Sama ada di peringkat Majlis Tertinggi (MT) mahupun sayap yang merangkumi Wanita, Pemuda dan Puteri, pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan perjuangan parti keramat orang Melayu itu.

Jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dianggap ‘ibu kepada segala pilihan raya’, PRU-14 pula adalah detik penentuan sama ada UMNO dapat meneruskan survival politiknya atau tidak. Pemimpin dan ahli UMNO tidak harus leka dengan menganggap perhimpunan kali ini tidak ada apa signifikannya memandangkan pilihan raya sudah berlalu dan pemilihan sudah dilakukan. Sebaliknya, UMNO perlu menunjukkan komitmen untuk menjadi parti tonggak kepada Barisan Nasional (BN) tidak pernah luntur biarpun menghadapi apa juga asakan dan tekanan daripada pakatan pembangkang. Apa yang perlu difahami, pakatan pembangkang sudah mula bekerja sebaik sahaja impian mereka untuk menumbangkan BN terkubur dalam pilihan raya umum lalu. Mereka sudah mula menyusun gerak kerja khususnya dalam pendaftaran pengundi baru.

DAP khususnya sudah meletakkan sasaran untuk menjadikan PRU-14 sebagai medan untuk menamatkan riwayat pemerintahan BN dan setakat ini mereka melihat laluan tersebut tidaklah sukar memandangkan ketika pengundi Cina nampaknya terus setia bersama pembangkang, sokongan juga boleh diraih melalui kegigihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan boleh menawan Putrajaya.


Sebab itulah, walaupun kepentingan kaum-kaum lain harus terus dipelihara melalui kesepakatan dalam BN tetapi survival UMNO sebagai parti politik yang memperjuangkan nasib orang Melayu dan memartabatkan agama Islam tetap perlu diperteguhkan. Kita tidak mahu melihat UMNO menjadi seperti Pas yang sentiasa sahaja berada dalam situasi ‘lebai malang’ menang sorak kampung tergadai. UMNO perlu mempertahankan jati diri sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan sentiasa bersikap adil kepada kaum lain apabila menjadi tonggak pemerintahan negara. Tidak perlu ada perasaan bimbang atau takut dalam soal ini kerana membela nasib orang Melayu bukanlah satu kesalahan dan mempertahankan martabat Islam bukanlah satu dosa.

Dominasi

Ketika ini, apabila merasai orang Melayu mula meninggalkan mereka, Pas mula bercakap soal mendapat sokongan orang Melayu sedangkan sebelum ini pemimpin-pemimpin parti itulah yang mengeluarkan pelbagai kenyataan dan ‘fatwa’ yang menuduh UMNO bersikap assabiyah apabila memperjuangkan orang Melayu.

Sekarang ini, mereka sudah berubah nada apabila dalam Muktamar Tahunan Pas Kali-59 di Shah Alam baru-baru ini, pelbagai seruan dibuat supaya usaha dilakukan bagi memecahkan dominasi UMNO ke atas pengundi Melayu. Tetapi apa yang perlu diingat kekuatan Pas dalam pakatan pembangkang bukanlah seperti mana UMNO dalam BN. Pas bukanlah dominan sebaliknya akan kekal sebagai pak turut sahaja.

Justeru kelebihan untuk terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam terletak di tangan UMNO, tetapi kepakaran Pas ialah mereka mempunyai alim ulama, tok guru dan ustaz yang bersedia berhujah dengan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis bagi menarik perhatian orang Melayu.

UMNO perlu bersedia berhadapan dengan situasi ini dan langkah pucuk pimpinan parti itu melantik pendakwah seperti Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO adalah tepat. Kehadiran beliau bersama-sama agamawan lain dalam UMNO sudah pasti mampu menjadi pembimbing kepada kepimpinan UMNO untuk memperkasakan lagi agenda membantu orang Melayu dan memartabatkan umat Islam.

Usah dipedulikan apa juga kata pembangkang terhadap ulama UMNO, apatah lagi dengan sikap Pas yang merasakan hanya parti mereka sahaja berhak memperkata dan memperjuangkan Islam sedangkan prinsip perjuangan sendiri pun sanggup digadaikan demi menjaga hubungan dengan DAP yang tegas menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud.

Oleh itu, biarlah pembangkang dengan politik jumud mereka, tetapi bagi UMNO, perhimpunan kali ini perlu menyerlahkan komitmen mereka untuk menjadi pembela nasib orang Melayu, memartabatkan agama Islam dan mempertahankan kemakmuran semua kaum di negara ini. Sebenarnya, UMNO jauh lebih baik daripada Pas, UMNO tidak pernah memperalatkan Islam apatah lagi memecah belahkan umat Islam demi kuasa politik. UMNO juga tidak pernah dilihat menganiaya kaum lain apabila memerintah sesebuah negeri, tetapi malangnya sesetengah pemimpin UMNO gagal untuk menyampaikan mesej ini kepada orang Melayu khususnya generasi muda.

Pendekatan UMNO dalam mendapat sokongan orang Melayu termasuklah golongan muda harus diubah. Janganlah mendabik dada soal jasa-jasa UMNO dan BN sejak merdeka dan apa yang sudah dilakukan oleh parti itu dalam memajukan negara. Sebenarnya, rakyat Malaysia secara keseluruhannya bukanlah tidak mengetahui fakta ini tetapi sebahagian besar mereka sudah ditutup mata dan telinga akibat mainan politik dan propaganda pakatan pembangkang. Inilah bahaya yang harus ditangani oleh UMNO.

Buatlah sebanyak mana pun program, laksanakan apa pun rancangan untuk memajukan rakyat tetapi ia belum pasti berjaya jika UMNO dan BN tidak mengatur strategi dari sekarang bagi memberi pemahaman kepada rakyat. Fikirkanlah sebelum PRU-13 lalu, apa yang UMNO dan BN tidak buat untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama tetapi kesudahannya, sebahagian besar mereka seolah-olah tidak mengenang budi apabila terhasut dengan slogan pembangkang ‘Ini kalilah’.

Keadaan ini sepatutnya menginsafkan pemimpin dan ahli UMNO bahawa perhimpunan yang bakal dihadiri bukan sekadar agenda tahunan bagi melengkapkan jadual sebuah organisasi politik. Tetapi ia adalah gelanggang yang amat penting untuk mula mengatur strategi bagi menghadapi PRU-14.

Bagaimanapun sama ada agenda yang diatur, iltizam yang dipahat dan tekad yang mahu ditanam akan berjaya atau tidak, terletak kepada diri setiap pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara. Sama ada hendak diakui atau tidak, UMNO sebenarnya boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU-13 lalu, jika perasaan bangga menjadi ahli UMNO terpahat kukuh dalam hati mereka melalui sikap meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi. Apabila mempunyai perasaan bangga menjadi ahli UMNO, mereka tidak akan tergamak melakukan apa juga tindakan yang boleh merosakkan parti sendiri.

Mereka perlu berasa bangga kerana berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu, memartabatkan agama Islam dan sentiasa mengamalkan toleransi bagi memastikan kaum lain tidak terpinggir. Jika ahli-ahli parti pembangkang begitu bangga dan ada antara mereka begitu taksub kepada parti sendiri sehingga sanggup mengetepikan kebenaran yang dibawa oleh parti lawan kenapakah perasaan yang sama tidak boleh disematkan dalam kalangan ahli UMNO?

Di manakah maruah ahli-ahli UMNO, apabila akibat perbuatan mereka parti itu sentiasa sahaja dipandang rendah oleh parti-parti lawan dan sebahagian rakyat negara ini termasuklah segelintir orang Melayu? Di mana-mana juga orang selalu berkata, sebenarnya pembangkang tidak kuat dan Pas tidak hebat tetapi UMNO yang tidak sepakat!

Berikutan itu jadikanlah perhimpunan kali ini medan untuk bermuhasabah, janganlah membiarkan PWTC sekadar gelanggang untuk melaungkan kata-kata semangat tetapi apabila pulang ke negeri masing-masing, bak kata orang Kedah, ‘perangai dok macam tu jugak’.

Tanamlah tekad dan berani berubah untuk memastikan UMNO kembali menjadi parti terunggul dalam PRU-14 nanti. Kemenangan dan kejayaan UMNO dalam pilihan raya itu bukanlah semata-mata kerana survival politik parti tersebut tetapi demi memastikan masa depan orang Melayu terjamin dan maruah Islam dapat dipertingkatkan.

Percayalah, orang Melayu dan umat Islam di negara ini mahu tidak mahu bergantung kepada UMNO bagi membela nasib mereka. Janganlah diharapkan kepada Pas yang hanya bijak bercakap soal memperjuangkan Islam tetapi tunduk kepada DAP, janganlah diharapkan kepada PKR yang pemimpinnya begitu mendabik dada bercakap soal menegakkan kebenaran tetapi corak politik mereka sendiri penuh dengan kepalsuan dan pembohongan.

Apa yang pasti jika UMNO terus tegas dan tidak bersikap apologetik dalam membela orang Melayu dan meningkatkan martabat Islam, percayalah UMNO akan terus kekal sebagai tonggak pemerintahan negara ketika ada kaum tertentu masih belum mahu belajar untuk berterima kasih, biar pun tahu apa jasa besar UMNO kepada mereka sebelum merdeka dan selama ini.

No comments: