Nov 27, 2013

#MuktamarPAS : PAS Selepas Muktamar



SELAMA empat hari mulai Khamis lalu, sekitar Stadium Malawati, Shah Alam berubah wajah, ia menjadi tumpuan ribuan ahli dan penyokong Pas memandangkan di situlah berlangsung Muktamar Tahunan Pas Ke-59.

Mereka hadir dengan penuh semangat kerana menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jihad bagi menegakkan perjuangan Islam.

Tetapi persoalannya, sejauh manakah hasrat mereka tercapai? Adakah harapan mereka untuk melihat syariat Islam yang menjadi cita-cita perjuangan Pas terlaksana melalui langkah memperkasakan kedudukan ulama?

Bagaimana pula dengan kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang, apakah parti itu berani bersuara untuk menjadi dominan atau sekadar 'pak turut'?

Berikut penulis paparkan beberapa rumusan selepas muktamar berakhir kelmarin.


Tahaluf Siyasi

Terbukti Pas terlalu sayangkan hubungan parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Justeru muktamar kali ini memaparkan penegasan Pas untuk terus menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Pandangan pelbagai pihak sebelum ini berhubung tahaluf siyasi parti itu ternyata tidak menggugat Pas untuk tetap mempertahankan kerjasama berkenaan. Malah pemimpin-pemimpin Pas bertegas bahawa kesepakatan itu akan menjadi landasan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya.

Sebenarnya dalam isu ini, Pas sudah tersalah tafsir dan memandang remeh gesaan pelbagai pihak agar parti itu tidak sekadar menjadi pak turut dalam pakatan pembangkang.

Walaupun mempunyai pemimpin berlatar belakang yang boleh dianggap hebat-hebat belaka termasuklah ulama namun kepimpinan Pas seolah-olah tidak mampu menentang ketegasan dan kelantangan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

Berikutan itu, kita akan terus menyaksikan bagaimana Pas diperkotak-katikkan oleh kedua-dua parti tersebut. Kejayaan yang agak cemerlang dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 telah memungkinkan tertanam satu keyakinan luar biasa dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong Pas bahawa biar apa pun berlaku Pas tidak boleh meninggalkan pakatan pembangkang.

Semakin terhakisnya kekuatan ulama

Sejarah silam Pas membuktikan parti itu ditubuhkan oleh sekumpulan ulama yang berpisah daripada UMNO. Tindakan itu berdasarkan kepada impian untuk mewujudkan sebuah parti politik yang akan berusaha menegakkan syariat Allah di bumi bernama Malaysia ini.

Pengaruh ulama inilah yang memungkinkan Pas mendapat sambutan cukup hebat dalam kalangan orang Melayu terutamanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Ketiga-tiga negeri ini pernah dan terus ditawan oleh Pas. Kedah dan Terengganu dikuasai oleh Pas pada 1999 dan 2008, manakala Kelantan kekal menjadi kubu parti itu sejak 1990 berikutan pengaruh kepimpinan ulama.

Malah kerana kekuatan ulama jugalah yang memungkinkan Majlis Syura yang diketuai Mursyidul Am diwujudkan. Majlis ini sering diuar-uarkan sebagai penentu hala tuju gerakan Islam Pas. Begitu juga dengan adanya Dewan Ulama dalam Pas yang menampakkan dengan jelas bahawa ulama seharusnya memainkan peranan paling penting dalam perjuangan politik parti itu.

Bagaimanapun kejayaan dan semakin meningkatnya kekuatan Pas dalam politik negara telah memungkinkan golongan ulama tidak lagi dilihat mampu untuk 'berjalan' seiring dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain. Ada tafsiran dalam kalangan pemimpin Pas sendiri bahawa kalau parti itu mahu dilihat berimej nasional, kepimpinannya juga harus menonjolkan lebih banyak kelompok daripada bukan golongan ulama.

Mungkin kerana pandangan ini jugalah, dari semasa ke semasa, golongan ulama semakin hilang taringnya dalam Pas. Biar pun bermacam-macam hujah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin kanan itu bagi menutupi semakin lunturnya pengaruh ulama dalam Pas tetapi realitinya, suara kumpulan tersebut semakin terhakis.

Syariat Islam dan hukum hudud

Berdasarkan apa yang berlaku dalam muktamar dan sikap konsisten yang ditunjukkan oleh parti pembangkang lain khususnya DAP, adalah jelas pelaksanaan hukum hudud dan menegakkan syariat Islam akan terus menjadi sekadar modal politik kepada Pas.

Ketika parti itu dilihat begitu selesa untuk menuduh UMNO menentang Islam, rakan baik Pas sendiri , DAP secara lantang menentang hukum Islam.

Sebab itulah, ramai pemerhati politik melihat perjuangan Pas bagi menegakkan syariat Islam tidak akan ke mana, sebaliknya ia akan terus menjadi 'modal politik' yang cukup menguntungkan dalam usaha mereka menarik sokongan khususnya daripada kalangan orang Melayu di luar bandar.

Pas sehingga ke hari ini belum mendapat sebarang persetujuan rasmi daripada PKR dan DAP dalam soal pelaksanaan hukum hudud mahupun syariat Islam, sebab itulah ketika muktamar ada perwakilan mengingatkan kepimpinan Pas bahawa tiada gunanya Pas ke Putrajaya kalau syariat Islam ditinggalkan di pintu pagar Putrajaya.

Sokongan orang Melayu

Isu ini mendapat perhatian beberapa perwakilan dan pemimpin Pas kerana merasakan sokongan orang Melayu kepada parti itu khususnya dalam pilihan raya umum lalu dilaporkan merosot.

Pas tidak harus menuding jari kepada UMNO dengan mengatakan parti yang menjadi tonggak kerajaan BN itu menggunakan undi orang Melayu untuk mengekalkan kuasa.

Orang Melayu menyokong UMNO bukan berasaskan kepada propaganda politik tetapi mereka melihat kepentingan orang Melayu tidak dibela oleh Pas berikutan sikap PKR dan DAP.

Apatah lagi, apabila menyentuh soal Melayu, menjaga kepentingan umat Islam dan institusi raja-raja, Pas dilihat terlalu berhati-hati kerana bimbang menyinggung perasaan sekutunya. Ia ditambah pula dengan pendirian Pas yang tidak mahu terlalu menjaga memperjuangkan nasib orang Melayu kerana menganggap itu perbuatan assobiyah.

Atas sebab itu, orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Pas untuk mempertahankan kepentingan mereka. UMNO bersedia dianggap assobiyah dan bersemangat kebangsaan asalkan kepentingan Melayu dilindungi dan kesucian Islam terpelihara.

Situasi ini berbeza dengan Pas yang turut menganggap UMNO mempolitikkan isu kalimah Allah sedangkan mereka sendiri berpecah belah sesama sendiri berhubung sama ada bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah suci itu atau tidak.

Itulah sebahagian sedikit rumusan yang boleh dibuat berdasarkan kepada muktamar tahunan Pas kali ini. Pemimpin, ahli dan penyokong Pas mungkin terus berbangga dan mendabik dada bahawa mereka berada dalam sebuah parti yang kuat dan kukuh tetapi pada masa yang sama, mereka juga perlu diperingatkan dalam apa juga situasi, jangan sampai tekad, keazaman dan keyakinan yang dipaparkan hanya menguntungkan PKR dan DAP.

Namun berdasarkan senario sepanjang muktamar, terbukti Pas akan terus menjadi pak turut, kekal menjadi mat jenin dan bakal menjadi lebai malang, segalanya kerana sudah terperangkap dengan keghairahan untuk menawan Putrajaya bersama sekutunya.

No comments: