Nov 21, 2013

#MuktamarPAS : PAS bimbang parti hilang kuasa sekiranya PR menang PRU-14

PAS bimbang parti akan lemah sekiranya PR menang PRU14


Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mengakui bahawa wujud kebimbangan diantara ahli PAS mengenai kedudukan parti itu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya mentadbir negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Katanya, ini berikutan kemungkinan berlakunya tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan mula lompat parti menyertai parti lain dalam Pakatan Rakyat kecuali PAS, seterusnya meletakkan kedudukan parti itu sebagai yang paling lemah dalam PR.

Oleh itu, Husam dalam ucapannya memohon jaminan daripada PR supaya status quo jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU ke-13 lalu dikekalkan.

"Inilah antara bisikan kebimbangan yang ditiupkan kepada ahli-ahli PAS.

"Saya kira jika inilah kebimbangan yang kita ada, kita boleh memeteraikan perjanjian dengan rakan dalam Pakatan Rakyat bahawa setiap kerusi yang diperuntukkan PAS dalam PRU lalu akan kekal ditandingi oleh PAS pada masa akan datang, sekalipun setelah Pakatan mentadbir Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-53, Dewan Jubli Perak Bangunan SUK di Shah Alam pada Rabu.

Kata Husam, ia adalah menjadi tugas besar bagi setiap ahli PAS untuk mencari jalan mendapatkan kemenangan di seberapa banyak kerusi yang ditandingi.

"Selain dari parti kita dilihat relevan, tidak ketinggalan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan tidak surut dalam idealisme membentuk saf pimpinan terbaik dan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat terbanyak bila diamanahkan mentadbir negeri atau negara," katanya.

Dalam pada itu, Husam turut menyatakan kebimbangan berikutan pencapaian parti yang masih belum mencapai tahap yang membanggakan di Sabah dan Sarawak.

"Pilihan raya peringkat Negeri Sarawak akan tiba... kita belum menemui formula yang berkesan untuk kedua negeri tersebut.

Dewan Muslimat PAS Pusat menganjurkan Muktamar tahunannya yang ke-53 selama dua hari bermula 20 November (Rabu) diikuti dengan pemilihan dewan itu pada 21 November (Khamis).

Muktamar tersebut telah dirasmikan oleh Husam.

Turut hadir pada perasmian termasuk Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali, Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin serta Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

No comments: