Nov 27, 2013

#MuktamarPAS : Apa Yang Sudah Berubah Dengan PAS?

KEPUTUSAN corak kepimpinan Pas dalam muktamar yang baru lalu masih dalam status-quo lama. Tidak banyak yang berubah. Dewan Ulama Pas mengambil keputusan Tahalluf Siasi dengan pihak lain dikekalkan.

Tidak banyak perbincangan mengenai perincian maksud Negara Berkebajikan untuk dijadikan landasan merubah Malaysia ikut kaedah syarak. Beberapa kritik daripada perwakilan terhadap hala tuju perjuangan Pas dianggap remeh dan tidak relevan.

Segala kritik terhadap Pas datangnya daripada musuh Pas sendiri terutama media arus perdana seolah-olah Pas adalah sebuah parti yang serba lengkap dan sempurna.

Kritikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pejuang Hak Asasi Manusia yang bercanggah dengan syariah sekadar melepaskan batuk di tangga kerana Hadi amat maklum di belakang COMANGO berdiri S.Ambiga dan Anwar Ibrahim rakan sekutu Pas.

Isu kalimah Allah tidak dijadikan bahan perbahasan dan isu Syiah semacam dirasakan tidak wujud. Bagi khalayak ramai ia suatu isu yang melibatkan persoalan akidah, ibadah dan syariah.


Majlis Ulama Pas semacam kehilangan hujah walaupun sebelum ini Dr. Harun Din dan Dr. Johari Mat menyatakan sikap yang jelas mengenai kedua-dua isu itu. Itulah cara politik Pas.

Bila isu hudud berbangkit semula, pemimpin Pas berbelah bagi. Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan kenyataan terkini Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Hadi nampaknya macam tidak seiring sedangkan isu hudud adalah inti perjuangan Pas.

Sekiraya Nik Aziz dan Hadi bertekad melaksanakan hudud di Kelantan, apakah ini disetujui oleh DAP dan Anwar Ibrahim. Inilah isu pokok Pas dan rakan sekutunya dalam DAP dan PKR.

Sekiranya Karpal Singh masih bertegas "Langkah mayatku dulu" untuk melaksanakan hudud dan Anwar mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan semua, apakah Pas akan akur atas nama semangat Pakatan Rakyat.

Isu Negara Islam dan pelaksanaan syariah dalam negara adalah isu pokok Pas. Apakah Pas sanggup mengorbankan ini semua semata-mata mengatakan tahalluf siasi itu memberi manfaat kepada Pas. Pas gagal melakukan dakwah kepada DAP tentang kebaikan Islam dan hukumah Islamiah itu sendiri.

Pas lebih banyak mengambil pendekatan politik. Lalu Pas terlalu banyak menjaga hati rakan sepakatannya walaupun Pas tahu bahawa DAP amat dominan dengan pendekatan sosialis demokratiknya dan PKR dengan pendekatan ‘pluralisme agamanya’.

Ke mana hala tuju Pas selepas ini sekiranya Pas sendiri tahu cita-cita Negara Islam dan hududnya tidak selari dengan rakan sekutunya. Negara Berkebajikan hanya suatu helah yang lunak di mana kerjasama boleh berjalan. Tapi akhirnya apa yang diharapkan oleh Pas daripada kerjasama ini.

Pas mengakui bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot. Sebahagian kemenangan Pas dalam pilihan raya lalu adalah daripada sokongan DAP. Orang Cina yang menyokong Pas bukan sangat mahukan Islam yang dibawa oleh Pas tetapi mahukan DAP dominan dalam kuasa politik secara timbal-baliknya.

Dengan UMNO, Pas berdendam. Kebencian terhadap UMNO luar biasa sekali. Segala yang buruk semuanya daripada UMNO. Segala yang baik semuanya daripada Pas, DAP dan Anwar.

Penulis meramalkan UMNO dan Barisan Nasional akan menang sekali lagi dalam PRU-14. Orang Melayu dan sebahagian orang Cina semakin sedar akan hala tuju perjuangan Pas dan siapa sebenarnya Anwar.

Orang Melayu semakin mengerti siapa sebenarnya DAP dalam hubungan dengan Pas dan siapa sebenarnya DAP apabila Karpal Singh menyebutkan di Parlimen bahawa “Anwar kaki liwat".

Kata pepatah Melayu terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Mereka tidur setilam tetapi igauan lain-lain. Anwar ingin jadi Perdana Menteri, DAP amat tahu hal ini. Pas juga tahu impian Anwar itu.

PRU-13 slogan “Ubah - Ini Kalilah!" menjadi lonjakan keramat dan tercetus sedikit tsunami politik. PRU-14, UMNO dan BN akan melontarkan slogan keramat, “Nak Ubah - Lain Kalilah!" Dengan syarat UMNO dan BN harus merakyat, menjadi teladan dan sumber ikutan dan mendidik generasi muda supaya sayangkan negara dan menyumbang terhadap kemajuan Malaysia.

No comments: