Nov 23, 2013

#MuktamarPAS : Antara PAS, Hudud dan Tahalluf Siyasi



KENYATAAN Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan melaksanakan hukuman hudud menjelang Muktamar Pas hari ini dan esok (22 dan 23 November) tidak dilihat terjadi secara kebetulan atau dilihat sebagai bermotif politik.

Pas yang bercita-cita menegakkan negara Islam dan hukuman hudud tidak memberikan reaksi yang bulat terhadap kenyataan itu. Puluhan tahun Pas Kelantan telah menuntut pelaksanaan hukuman hudud sehingga Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 diluluskan.

Alasan Timbalan Menteri Besar Kelantan ialah isu Perlembagaan Persekutuan dan pakar undang-undang belum memberi maklum balas dari sudut perlembagaan mengenai Enakmen Hudud itu.

Ia pasti akan menjadi isu dalam Muktamar Pas kali ini di samping isu-isu yang lain. Isu yang melatari pelaksanaan hukuman hudud ini memberi kesan terhadap pendekatan tahalluf siasi yang sedang berjalan.

DAP melalui kenyataan Pengerusinya Karpal Singh tidak akan menerima pelaksanaan hudud dengan menyatakan "langkah mayatku dulu" sekiranya ingin melaksanakan hudud.

Anwar Ibrahim dalam Majlis Makan Malam dan Dialog Bersama dengan Pemimpin Masyarakat Cina di Subang Jaya pada 8 November 2011 menyatakan isu hudud tidak berbangkit dalam keputusan ketua-ketua pakatan. Kata Anwar lagi, hudud bukan ditentukan oleh satu parti tetapi ia adalah kesepakatan semua parti. Dalam isu hudud beliau berpegang kepada Perlembagaan Negara.


Sekiranya DAP tidak bersetuju, pakatan pembangkang tidak boleh mengambil keputusan sepakat. Pendirian Anwar juga banyak bergantung kepada pendirian DAP. Kalau begitu apa jadi pada tahalluf siasi Pas sedangkan cita-cita perjuangannya tidak difahami oleh rakan pakatan yang lain.

Perjuangan Pas ke arah Negara Islam dan pelaksanaan hudud adalah inti. Melunakkan Pas dengan perjuangan Negara Berkebajikan hanya suatu strategi. Sehingga kini Negara Berkebajikan tidak diperinci apakah ia didukung oleh faktor syariah atau ia Negara Berkebajikan seperti negara-negara lain di Eropah tanpa asas syariah.

Hal ini penting bagi perjuangan Pas. Tanpa Negara Islam dan pelaksanaan syariah Pas bukanlah parti yang memperjuangkan Islam. Kalau begitu apa faedah Pas bersama dengan PKR dan DAP sekiranya mereka tidak jelas atau menentang hudud.

Tahalluf siasi mengambil kaedah Rasulullah SAW dalam membangun Sahifah Madinah meletakkan Rasulullah SAW dan kepimpinan Islam dominan. Ternyata Muafakat dengan Nasrani, Yahudi dan Majusi memberi faedah berbanding yang lebih kepada Islam.

Tetapi tahalluf siasi yang sedang dilakukan oleh Pas menyebabkan parti itu hilang perjuangan Negara Islam dan hudud dan digantikan dengan Negara Berkebajikan yang tidak tercatat dalam Perlembagaan Pas. Kalau dikaji untung rugi, Pas telah banyak rugi. Dari segi kerusi Parlimen Pas merosot.

Haji Hadi Awang terpaksa berkorban dalam penggunaan kalimah Allah meski kepimpinan ulamanya tidak bersetuju. Apakah persetujuan Hadi pada 8 Januari 2013 kerana serba salah kepada Anwar Ibrahim atau menerima kenyataan Lim Guan Eng dari DAP pada 24 Disember 2012 bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang Kristian.

Muktamar kali ini yang bakal membuat pilihan kepimpinan sudah tentu akan membahaskan isu hudud dan dalam masa yang sama mengambil hati rakan dalam pakatan. Sekiranya menjaga hati rakan dalam pakatan itu jauh lebih utama, isu hudud bakal tenggelam, ahli Pas tidak berani membincangkannya lagi dan ia menggambarkan kelompok 'liberal' semakin menguasai Pas.

Sebaliknya ketampilan barisan ulama di peringkat Timbalan Presiden dan Naib Presiden berdepan dengan calon-calon yang orientasinya berbeza sudah tentu bakal memberi kesan kepada perjuangan Pas jangka panjang.

Penulis percaya isu tahalluf siasi akan tetap menjadi isu pokok kerana khalayak sedang memerhati tahap kejayaan Pas dalam tahalluf ini dan jangka panjang perjuangan Pas untuk memartabatkan Islam dan hukumah Islamiah.

Oleh itu kenyataan Ketua Hakim Syarie adalah cabaran bagi Pas. Kalau Pas tidak mengambil pendirian yang jelas tahalluf siasi adalah beban bagi perjuangan Pas.

No comments: