Sep 10, 2013

#KalimahAllah : Nama Tuhan dalam Bible - Elohim, Eli, Eloi



BERBALIK kepada isu nama ketuhanan, maka sudah tentu kalau kita mahu menemui nama ketuhanan Kristian, kita wajib merujuk kitab asal dalam bahasa Ibrani. Adalah tidak logik jika kita merujuk kepada terjemahan Greek, Inggeris, Arab, apatah lagi terjemahan Melayu-Indonesia kerana itu bukan kitab asal.

Di dalam Kitab Perjanjian Lama berbahasa Ibrani, nama Tuhan mereka (saya rujuk versi yang tulisannya dalam huruf Romani bukan tulisan asal Ibrani) disebut sebagai YHWH, tanpa vowel kerana bahasa Ibrani dikatakan tiada mengandungi vowel.


Namun mereka dilarang menyebut nama tersebut berdasarkan terjemahan ayat Lev, 24:16 yang menyebut "He that names the name Yahweh shall surely be put to death". Sesiapa yang menyebut nama YHWH pasti akan dihukum mati!

Maka mereka seboleh-bolehnya mengelak menyebut nama tersebut. Sebaliknya mereka menyebutnya dengan ganti nama seperti Eli, Eloi, Adonai atau Elohim dan lain-lain.

Kalau kita melihat Kitab Perjanjian Lama yang asal dalam bahasa Ibrani, Tuhan yang menjadi sembahan orang Kristian disebut Elohim (atau Eli atau Eloi). Dan inskripsi zabad yang diguna untuk terjemahan ke bahasa Arab menterjemahkan Elohim sebagai Ilah.

Perkataan Elohim juga diterjemah ke dalam bahasa Kristian Maluku sebagai Tete Manis, Dayak sebagai Jubata, Filipina sebagai Diyos, Bali sebagai Sang Hyang Widi, Yunani sebagai Theos, dan di Eropah dan Amerika sebagai God.

Apa yang lebih menarik ialah apabila tercetus kontroversi lagu nyanyian Agnes Monica berjudul Allah Peduli yang mengguna pakai kalimah Allah sebagai Tuhan Jesus dalam lirik "sebab Allah Yesus ku mengerti", maka Yayasan Lentera Bangsa (sebuah pertubuhan Kristian Indonesia) telah menerbitkan Bible versi baharu dipanggil Kitab Suci Indonesia Literal Translation (KS-ILT) yang menggugurkan penggunaan kalimah Allah, sebaliknya digantikan dengan kalimah Elohim.

(sila rujuk www.christianitytoday.com/ct/2009/august/14.15.html di mukasurat 1).

NAMA KETUHANAN DALAM BIBLE - JESUS

Nama Jesus yang selalu kita dengar digunakan oleh orang Kristian adalah nama yang dikatakan manifestasi Tuhan, atau Son of God, Anak Tuhan. Sebenarnya nama Jesus dalam bahasa Ibrani yang menggunakan huruf Romani ditulis sebagai Yeshua - bermaksud "Penyelamat" atau "Pembawa risalah".

Ia diterjemahkan sebagai "Ieosus" dalam bahasa Greek, kemudian diterjemah sebagai "Yesus" dalam bahasa Inggeris lama, kemudian menjadi "Jesus" dalam bahasa Inggeris moden.

Dalam Islam, Jesus disebut dengan panggilan 'Isa Al Masih, atau Ibnu Maryam, dan Baginda dianggap sebagai salah seorang Nabi dan Rasul utusan Allah, bukannya anak Allah!

Mungkin kita boleh bertanya soalan seperti berikut: Adakah Nabi 'Isa atau Yeshua akan menyahut sekiranya dia hidup kembali dan dipanggil orang dengan nama Jesus?

Kita sendiri pun tahu jawapannya yang cukup jelas, iaitu sudah pasti tidak - kerana nama Jesus bukan namanya. Sama seperti nama Abu Bakar dalam bahasa Melayu, jika ditukar menjadi Ash Burn pasti tidak akan disahut oleh Abu Bakar jika dipanggil dengan nama sedemikian; kerana Ash Burn bukan namanya! Atau kita memanggil Tiger Wood dengan nama Rimau Kayu. Pasti beliau sendiri tidak akan mengenali nama Rimau Kayu!

Dan bertambah mengelirukan saya ialah apabila membaca Matthew 27:46 apabila Yeshua dicatat sebagai berkata (semasa di atas salib menanti saat kematian) "Eli Eli lama sabachthani" yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris seperti berikut: "My God my God, why have you forsaken me"; dan dalam Mark 15:34 dicatat pula Yeshua berkata (juga semasa di atas salib) "Eloi Eloi lama sabachthani?" yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris moden seperti berikut: "My God my God, why have you forsaken me?"

Sepatutnya terjemahan yang tepat bagi ayat-ayat ini berdasarkan versi bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu-Indonesia ialah "Tuhanku Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku".

Tetapi apa berlaku adalah sebaliknya. Terjemahan dalam Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia disebut sebagai "Ya Allah-ku, Ya Allah-ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku".

Persoalannya, mengapa mereka memilih untuk menggunakan kalimah Allah sebagai ganti nama God, sedangkan ganti nama yang lebih tepat ialah "Tuhan"?

DI ANTARA GANTI NAMA 'ALLAH' DAN 'TUHAN'

Selanjutnya jika kita membaca terjemahan Bible bahasa Inggeris mahupun Melayu-Indonesia, Cina mahupun Tamil, kita akan dapati mereka banyak menyebut nama Tuhan dalam bentuk deskriptif, bukan substantif atau nama khas.

Contohnya mereka akan menyebut God The Father, The Son and The Holy Spirit. Dalam terjemahan bahasa Melayu-Indonesia versi Al-Kitab disebut sebagai Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Ruh Kudus. Sepatutnya terjemahan yang lebih tepat ialah Tuhan Bapa, Tuhan Putera dan Tuhan Ruh Kudus, iaitu dengan menggunakan ganti nama "Tuhan" bukan "Allah"!

Sedangkan dalam bahasa Cina ia disebut sebagai Sheng Fu, Sheng Zu dan Sheng Ling. Manakala dalam bahasa Tamil disebut sebagai Suthan, JesaPa dan Parisutha.

Jelas daripada deskriptif ketuhanan di atas, kalimah Allah tidak digunakan dalam semua bahasa yang disebut termasuk bahasa Cina mahupun Tamil walaupun ia merujuk kepada perkara yang sama! Hanya dalam versi terjemahan bahasa Melayu-Indonesia kalimah Allah digunakan!

Persoalannya ialah: MENGAPA?

Sedangkan perkataan God atau Sheng dalam bahasa Cina kalau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bermakna Tuhan. Jadi timbul persoalan, mengapa Kristian di Malaysia berkeras mahu menggunakan kalimah Allah sebagai ganti nama God atau Sheng di dalam Bible terjemahan bahasa Melayu; sedangkan terjemahan yang lebih tepat ialah 'Tuhan'?

AGENDA TERSIRAT GERAKAN KRISTIANISASI

Adakah mereka mempunyai maksud atau agenda yang tersirat?

Jawapannya boleh kita lihat dalam pendedahan mereka sendiri di dalam majalah Christianity Today (dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan "penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka memahami siapa Christ! Jika kalimah Allah tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!".

(sila rujuk www.christianitytoday.com/ct/2009/august/14.15.html di mukasurat 2).

Itulah respons dan komentar oleh majalah Kristian Christianity Today (terbitan Julai 2009) apabila Majlis Agama Islam Selangor pada Mac 2009 mengharamkan lagu nyanyian Agnes Monica yang menyalahgunakan kalimah Allah!.

Adalah jelas penyanyi dari Indonesia ini yang membawa lagu bertajuk "Allah Peduli" bermaksud Tuhan Kristianiti dalam bentuk trinity apabila dengan jelas pada rangkap akhir menyebut "Allah mengerti, Allah peduli, segala persoalan yang kita hadapi, tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, sebab Allah Yesus ku mengerti".

Dalam menjalankan dakyah dan strategi missionari mereka, strategi gerakan Kristianisasi global adalah untuk membuatkan umat Islam supaya tidak berasa janggal apabila membaca bahan-bahan bacaan Kristian termasuk Bible.

Ini bermakna penggunaan kalimah Allah bukan bermaksud nama ketuhanan penganut Kristian, tetapi adalah usaha strategik dakyah mereka untuk memperdaya umat Islam untuk mengenali dan akhirnya nanti mempercayai Allah adalah ketuhanan Kristian Jesus Christ, bukan Allah Maha Esa, na'uzubillah!
Sebab itu nama Bible ditukar menjadi Al-Kitab. Sebab itu mereka menggunakan kalimah Allah. Sebab itu sermon mereka ditukar menjadi khutbah dan ada yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Dan mutakhir di sebuah negara jiran, mereka dikatakan merancang menukar hari sembahan mereka ke hari Jumaat sesuai dengan hari Jumaat sebagai saiyyidul ayyam, penghulu segala hari bagi umat Islam termasuk hari solat fardu Jumaat didirikan!

Tidakkah ini semuanya akan mengelirukan; kelak nanti sudah tidak ada beza semantik dan bahasa antara Islam dan Kristian; kelak nanti tidak akan ada beza semantik kalimah Allah dalam Islam dan Kristian. Maka mudahlah untuk mereka menjadi caleb - menyusup masuk dan menusuk jarum-jarum halus dakyah mereka kepada kalangan umat Islam.

Akhirnya daripada isu linguistik dan semantik, ia akan berubah menjadi krisis akidah!

CONTOH-CONTOH SALAH GUNA KALIMAH ALLAH

Akhir sekali, mari kita lihat bagaimana contoh-contoh kalimah Allah yang telah disalahgunakan untuk membawa maksud syirik, bahawa kalimah Allah itu adalah Tuhan Triniti - Tuhan Tiga Dalam Satu iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruh Kudus.

1. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 197 ayat 25-27) "Akulah yang memberi hidup dan membangkitkan orang mati", kata Yesus kepada Marta. "Orang yang percaya kepada-Ku akan hidup, walaupun ia sudah mati. Dan orang hidup yang percaya pada Ku, selama-lamanya tidak akan mati. Percayakah engkau akan hal itu.
"Tuhan," jawab Marta, "saya percaya Tuhan Anak Allah, Raja Penyelamat yang akan datang ke dunia ini".

2. Disebut alam terjemahan Al Kitab (ms 379 ayat 9) "jika Peti Perjanjian itu dibawa ke arah negerinya sendiri, iaitu Bet-Semes, itu bererti bahawa Allah orang Israellah yang telah mendatangkan celaka yang hebat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju ke sana, kita akan tahu bahawa musibah itu bukan dari Allah Israel, melainkan kebetulan saja";

3. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 246 ayat 13) "hormatilah Tuhan, Allahmu, dan berbaktilah kepada Dia sahaja, dan bila kamu bersumpah, lakukanlah demi nama-Nya saja";

4. Lafaz dalam upacara baptis berbunyi "saya membaptiskan kamu dengan atas nama Allah Bapa, dengan atas nama Allah Putera dan dengan atas nama Allah Ruh Kudus";

5. Risalah menyebut "Rencana Allah untuk menyelamatkan kita daripada dosa ialah dengan mengutus Anaknya Yang Tunggal";

6. Risalah menyebut "Yesus adalah Allah dalam bentuk manusia";

7. Risalah bertajuk "Allah Pilih Pemimpin" menceritakan ketuhanan triniti;

8. Risalah bertajuk "Firman Allah Hidup" menceritakan tentang bible;

9. Risalah bertajuk "Jalan Kepada Allah" menceritakan tentang pengutusan Jesus;

10. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Katolik Santa Maria Bonda Allah;

11. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Kristus Domba Allah;

12. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Sidang Jemaat Allah;

13. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Allah Itu Kasih;

14. Tajuk lagu Allah Peduli dengan lirik menyebut "Allah mengerti, Allah peduli, Segala persoalan yang kita hadapi, Tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, Sebab Allah Yesus ku mengerti" nyanyian Agnes Monica;

15. Tajuk lagu Harapan Bangsa dengan lirik menyebut "Bapa engkaulah harapan negara ini, Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia, Yesus engkaulah harapan segala bangsa, Nyatakanlah kebenaran mu" nyanyian Jaclyn Victor;

Satu persoalan fundamental yang saya mahu lontarkan ialah; apakah makna ayat-ayat di atas akan berubah jika kalimah Allah yang disalahgunakan dalam contoh-contoh tersebut ditukar dengan terjemahan yang lebih tepat iaitu perkataan "Tuhan"?

Jawapannya jelas iaitu Tidak! Tidak! Tidak!

Malahan penggunaan perkataan "Tuhan" adalah lebih tepat dari segi terjemahan dalam bahasa Melayu, bukannya 'Allah'!

Sebab itu saya merumuskan bahawa cubaan dan usaha gigih penganut Kristian termasuk pihak gereja beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah sangatlah mencurigakan! Apakah sebenarnya niat mereka?
Sedangkan bagi umat Islam, kalimah Allah itu adalah kalimah tauhid, membabitkan asas akidah. Ini jelas daripada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008.

Dan Alhamdulillah fatwa tersebut dipersetujui oleh Majlis Syura Pas yang mengeluarkan pendapat pada 13 Januari 2013 menyatakan pendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk tujuan dan maksud yang difahami Islam. Pendirian ini sebenarnya senada dengan pendirian Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang menyatakan sesiapa yang membenarkan atau bersetuju untuk Kristian menggunakan kalimah Allah maka itu adalah satu perbuatan syirik, na'uzubillah!

Pendirian ini sekali gus menyanggah pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan pendirian Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang membuat pendirian pada 8 Januari 2013 yang bersetuju dengan tuntutan Lim Guan Eng yang dibuat pada 25 Disember 2012 supaya Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah!

Bagi umat Islam, isu kalimah Allah adalah persoalan akidah. Dan kita tidak akan berkompromi walau sebesar zarah sekalipun dalam isu ini. Jika dalam mempertahankan kalimah Allah kita dilabel ekstremis, maka kita rela digelar ekstremis daripada menjadi peliwat akidah.

Jika membela kalimah Allah kita dilabel jumud, maka lebih baik manusia menggelar kita jumud daripada ditempelak Allah sebagai pengamal syirik!

PENUTUP

Allah SWT telah berpesan kepada kita bahawa Yahudi dan Kristian tidak akan reda dengan kita umat Islam selagi tidak mahu mengikut kemahuan mereka. Akan ada dalam kalangan mereka yang akan berusaha cuba memperdaya kita untuk akhirnya mempercayai Jesus itu adalah anak Allah. Dan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia adalah usaha strategik ke arah itu sebagaimana yang diakui sendiri oleh mereka.

Dan Allah telah berpesan kepada kita dalam apa keadaan sekalipun, berpeganglah kepada al-Quran, kerana ia petunjuk yang haq dan benar.

Dan Allah menegaskan dengan jelas bahawa setelah beribu-ribu tahun kalimah Allah telah disyirikkan sama ada sebagai mempunyai anak (seperti dakwaan Yahudi mengakui Uzair anak Allah atau Kristian mengakui Isa anak Allah atau Musyrikin Mekah mengakui Latta wal Uzza sebagai sekutu Allah), maka akhirnya Allah menurunkan penegasan muktamad melalui Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Ikhlas: "Katakan wahai Muhammad bahawa Allah itu Ahad-Satu. Semua makhluk bergantung padanya dan Ia tidak bergantung dengan sesiapa; Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan; Sesungguhnya Ia tidak sekufu dengan sesiapa dan tiada sekutu bagi-Nya!"

Jika kita berpegang kepada ketegasan al-Quran ini, kita akan sentiasa di bawah rahmat dan perlindungan bantuan Allah. Jika kita ingkar dan menurut hawa nafsu kuffar ini, ingatlah amaran Allah bahawa Dia akan berlepas tangan daripada kita, dan tiada bantuan dan pertolongan daripada-Nya buat kita, na'uzubillah min zalik.

Dalam keadaan serangan bertubi-tubi gerakan Kristianisasi dalam isu kalimah Allah, dengan disokong oleh segelintir agamawan sesat dan politikus rakus dalam kalangan kita; marilah kita renung persoalan yang saya lontarkan dalam mukadimah terdahulu; adakah kita yakin apabila anak kita menyebut kalimah "La ila ha illallah - Tiada Tuhan melainkan Allah", anak kita bermaksud Allah Hu Ahad - Allah Maha Esa, ataupun dia memahaminya sebagai Allah Triniti iaitu Allah Bapak, Allah Putera, Allah Ruh Kudus?

Tepok dada tanyalah iman masing-masing, wallahua'lam.

No comments: