May 31, 2012

BN sama Pakatan Bergaduh, Rakyat Mati Di Tengah-Tengah.

1. Bermula sejak kejatuhan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional pada 2008, Malaysia telah dilanda oleh tsunami isu-isu yang sebelum ini jarang-jarang kedengaran di peringkat nasional.

2. Isu-isu seperti isu kalimah Allah, video seks pemimpin-pemimpin parti, tanah di Perak dipajakkan selama 999 tahun, penghapusan DEB di Pulau Pinang dan banyak lagi. Jika disenaraikan satu persatu, nescaya kita tidak habis untuk berhujah tentangnya.

3. Di antara 'perang' isu yang meributkan negara Malaysia, kita tidak sedar bahawa masalah sebenar yang melanda negara kita ini diabaikan oleh kedua-dua parti ini, iaitu BN dan juga Pakatan.

4. BN dan juga Pakatan 'memilih' isu-isu tertentu untuk dimainkan yang akan membawa impak bukan dari segi kesejahteraan rakyat tetapi lebih kepada menaikkan imej parti masing-masing.

5. Perjuangan sebenar bagi BN adalah untuk mengekalkan kuasa pemerintahan dan perjuangan sebenar Pakatan adalah untuk merampas kuasa yang dipegang oleh BN. Itu sahaja matlamat mereka dan tidak lebih daripada itu.

6. Sekiranya dilihat kepada isu 'hangat' yang dimainkan seperti pendedahan video seks Anwar Ibrahim dan juga Azmin Ali. Isu ini sebenarnya tidak pun menjejaskan kesejahteraan rakyat ataupun menaik turun ekonomi  negara. Sama juga dengan isu NFC yang dimainkan oleh Pakatan, ia hanyalah satu pinjaman yang akan dibayar semula.

7. Kedua-dua isu di atas adalah contoh kepada puluhan isu yang tidak membawa kesan kepada kemasyahalatan negara. Banyak lagi isu yang pembaca boleh fikirkan yang pada hakikatnya adalah sekadar membawa impak kepada imej parti sahaja.

8. Termasuklah juga dengan isu perdebatan yang disensasikan oleh pihak media baru-baru ini. Jelas menunjukkan bahawa masing-masing cuba untuk mendapatkan sokongan rakyat melalui persembahan debat sahaja.

9. Tetapi kesalahan tidak boleh ditanggung oleh kedua-dua parti ini sahaja. Rakyat turut memainkan peranan yang besar dalam menentu halakan politik negara.

10. Berani saya katakan bahawa rakyat Malaysia belum cukup matang dalam politik. Rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu lebih percaya dengan kata-kata ataupun hujah-hujah yang dikemukan oleh mana-mana individu berbanding dengan rasional serta pengetahuan yang ada. Rakyat Malaysia lebih gemar retorik daripada fakta.

11. Sebagai contoh yang amat mudah, saya ingin mengambil contoh situasi yang berlaku di dalam negara. Katakanlah longkang di kawasan rumah anda tersumbat, siapa yang akan anda jumpa; wakil rakyat. Sekiranya lembu anda hilang, siapa yang akan anda jumpa; wakil rakyat. Sekiranya anak anda hendak masuk ke sekolah siapa yang akan anda jumpa; wakil rakyat. Segala jenis kesusahan yang melanda sekalipun, anda akan berjumpa dengan wakil rakyat. Tidak kira samada beliau adalah ahli DUN ataupun ahli Parlimen. Namanya sahaja YB, itulah individu yang akan anda jumpa.

12. Dalam masyarakat matang politik, sekiranya longkang tersumbat, tentunya anda akan mengadu kepada Majlis Pembandaran, lembu hilang, jumpalah Polis, anak ke sekolah, jumpalah pengetua. Gunakan saluran yang telah disediakan oleh kerajaan. Realitinya, rakyat sendiri tidak tahu apa tugas ahli DUN dan juga ahli Parlimen.

13. Dan tentulah sekiranya anda mengadu nasib kepada wakil rakyat ini, permintaan anda tidak akan ditolak malahan dilayan, jika tidak melayanglah satu undi!

14. Inilah yang berlaku di dalam negara kita ketika ini.

15. Dengan keadaan mentaliti pemikiran yang ada pada rakyat Malaysia, maka kedua-dua parti ini berusaha untuk menaikkan isu yang akan menjadi perhatian rakyat. Isu yang serius tetapi tidak mendapat perhatian rakyat tidak diketengahkan.

16. Seperti di Kelantan, walaupun negeri itu mundur di bawah pemenrintahan PAS, tetapi soal kemajuan bukan menjadi fokus rakyat di negeri tersebut. Mereka lebih gemarkan konsep yang dicanang-canangkan oleh PAS berbanding dengan tawaran kemajuan yang BN boleh sediakan.

17. Isu-isu lain yang sebenarnya mengancam masyarakat Malaysia pada hari ini seperti percambahan kedai-kedai judi, kualiti persekitaran penduduk, tahap kesedaran rohani, pergerakan penghapusan semangat Nasionalis, keberkesanan agensi-agensi kerajaan dan banyak lagi tidak menjadi fokus kerana tidak 'dilayan' oleh rakyat.

17. Mengatasi masalah seperti ini adalah keperluan rakyat. Tetapi, isu NFC, isu video seks, debat dan yang lain-lain menjadi kemahuan rakyat.

18. Tetapi saya ingin memuji tindakan dan perhatian daripada badan-badan kerajaan yang masih mencuba untuk manangani masalah-masalah yang tidak menjadi fokus media ini. Bukan tidak ada usaha, cuma keutamaan bukanlah terletak di situ.

19. Apa yang rakyat mahu tidak semestinya apa yang rakyat perlu. Secara idealnya, kerajaan sepatutnya haruslah mengutamakan apa yang perlu daripada apa yang mahu.

20. Maka dilema yang dihadapi oleh kerajaan pada hari ini adalah untuk menjadi kerajaan yang rakyat mahu, atau menjadi kerajaan yang rakyat perlu.

21. Realitinya samada suka atau tidak; rakyatlah yang sebenarnya menentukan 'kesihatan' politk masa kini.

22. Maka sengketa antara BN dan juga Pakatan tidaklah lebih daripada jurujual yang cuba menjual produknya kepada pelanggan. Masing-masing mahu menceritakan kebaikan produk masing-masing. Jika terdesak, masing-masing menceritakan keburukan produk lawan.

23. Gunakanlah Hak untuk Berfikir sebelum Hak untuk Bersuara.

No comments: